BERSERI...bermotif corak ceria tambah berseri dengan rekaan lapisan kain beralun.
ALUNAN kain berpotongan duyung dan berlapis ketika kaki melangkah begitu mempesona. Tambah menarik, koleksi raya 2012 yang ditampilkan sesuai dipakai oleh wanita yang mempunyai bentuk badan menarik bagi menonjolkan keanggunan si empunya diri.
Koleksi yang memikat itu diketengahkan oleh Buttonmybuttons untuk memberi idea dan pilihan kepada wanita yang pentingkan gaya unik ketika menyambut Syawal.
Menampilkan rona pastel pada koleksinya, ia lebih menonjolkan potongan vintaj dengan sentuhan kreatif daripada pereka tempatan, Shahida Sharif.
Gabungan gaya vintaj dan rona pastel bertambah anggun dengan elemen perincian manik. Walaupun mengetengahkan konsep potongan yang semakin diminati ramai, jenama itu masih mengekalkan elemen perincian butang dan reben yang menjadi identiti bagi Buttonmybuttons.
Menonjolkan rekaan segar dan menyeronokkan dalam bergaya, jenama itu tidak teragak-agak untuk mengetengahkan pembaharuan yang diterapkan pada potongan dan perinciannya.
Memberikan keceriaan ketika menyambut tetamu atau menziarahi sanak saudara, koleksinya tampak sesuai untuk wanita yang mahu meraikan hari kemenangan dengan penuh keceriaan.
Potongan mengikut badan si pemakai juga dititikberatkan bagi menonjolkan keanggunan dan kelangsingan wanita agar tampil lebih menarik di hari istimewa itu.
Bagi menonjolkan gaya vintaj, jangan lupa untuk memakai aksesori rambut seperti topi atau bunga bagi melengkapkan tema penampilan.
Rekaan segar koleksi berkenaan juga boleh digayakan ketika menghadiri majlis koktel atau pilihan ketika menyambut hari raya tahun ini.
Berkonsepkan vintaj yang diilhamkan daripada jenama itu sendiri, ia terdiri daripada gaun dan skirt retro dengan corak yang menceriakan untuk bergaya anggun ketika menyambut tetamu.
Semua koleksi terkini yang ditampilkan oleh Buttonmybuttons boleh didapati di butiknya di SS15/8B, Seksyen 15, Subang Jaya, Selangor.
Posted by R2blog. R2blog auto post for blogspot. Download at http://R2blogger.blogspot.com
No comments:
Post a Comment