
"It having been made to appear to the United States Parole Commission... Cameron Poe
is eligibleto be paroled." (Bahawasanya kamu Cameron Poe telah diperkenankan oleh Suruhanjaya Parol Amerika Syarikat dengan ini dilepaskan secara parol).
Petikan daripada filem Conair yang ditayangkan pada tahun 1997 ini, memberi gambaran ringkas tentang perlaksanaan sistem parol di Amerika Syarikat(AS) yang telah dilaksanakan sejak tahun 1907 lagi.
Sesiapa yang pernah menonton lakonan hebat Nicholas Cage dan John Cusack ini pasti juga tertanya-tanya adakah wujud sistem yang sama di negara ini?
Dalam filem tersebut memaparkan kisah banduan Cameron Poe (Cage) , yang mendapat parol (menjalani hukuman di luar penjara) kerana berkelakuan baik sepanjang di penjara.
Memang ia sesuatu yang baru di negara ini berbanding di AS dan Australia kerana sistem itu hanya mula dilaksanakan pada tahun 2008.
Pengarah Parol Wilayah Persekutuan, Penguasa Penjara (PP) Saidun Othman berkata, usaha ke arah sistem parol telah bermula sejak tahun 1990 apabila beberapa pegawai dari Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat lawatan ke AS dan Australia untuk menilai keberkesanan sistem di sana.
Kemudian Akta Penjara (Pindaan) Seksyen 46 dibentangkan di Parlimen pada Disember 2007 dan diluluskan pada 24 Disember 2007.
Setelah diluluskan, beberapa orang pegawai dari Jabatan Penjara dan KDN dihantar kursus di Australia. Seterusnya dua pegawai parol dari Australia telah dibawa ke Malaysia untuk melatih pegawai dari Jabatan Penjara di Akademik Koreksional Malaysia Langkawi.
Bermula Mei 2008, pelantikan pegawai parol dibuat. Seterusnya pada 8 Julai 2008 tahun yang sama seramai 18 yang merupakan kumpulan pertama banduan dilepaskan secara perintah parol.
Inilah detik bermulanya perlaksanaan sistem parol di negara ini," jelasnya yang ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Saidun, sistem parol bertujuan meneruskan pemulihan banduan di luar bersama masyarakat. Ia agar berlaku integrasi positif dan penyesuaian diri sebelum mereka dibebaskan sepenuhnya.
Apabila berlaku integrasi yang positif ia dapat mengurangkan kes berulang dan kemasukan semula ke penjara .
Parol juga mampu mengurangkan kesesakan dalam penjara serta mengurangkan kos operasi selain mendorong penghuni berkelakuan baik dan dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat.
Semua banduan yang mempunyai tarikh bebas, layak memohon dengan syarat berkelakuan baik, berjaya mengikuti program dalam penjara sekurang-kurang sebanyak dua fasa dan telah menjalani hukuman melebihi satu tahun di dalam penjara.
Bagaimanapun ada kategori banduan yang tidak layak kerana bergantung kepada tahap keseriusan jenayah.
Banduan yang tak layak ialah yang dijatuhi hukuman mati, banduan limpah sultan, yang dijatuhi hukuman penjara seumur hayat, banduan kesalahan seksual seperti merogol dan juga melibatkan kes culik, bunuh, senjata api dan ISA," jelasnya.
Tambahnya, kejayaan sistem parol hasil dari sokongan keluarga dan masyarakat.
Malah ia lebih menjamin lagi apabila mereka mendapat peluang pekerjaan, selain bimbingan agama dan sokongan dari pelbagai agensi seperti polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, hospital dan badan kaunseling.
Badan bukan kerajaan seperti NZ Curry House adalah salah satu contoh badan swasta yang memberikan ruang untuk banduan parol berniaga.
Ada majikan yang mengambil inisiatif merahsiakan identiti orang diparol (ODP) sebab takut wujudnya diskriminasi," ujarnya.
Jelasnya, sejak sistem parol mula dilaksanakan pada tahun 2008 hingga kini (18 Januari 2012) sudah 268 ODP berjaya dalam program parol. Peratusan kegagalan pula kurang dari tiga peratus (statistik untuk Wilayah Persekutuan sahaja).
Sementara itu, Pegawai Parol, Ketua Inspektor (KIP) Kasim Sharif berkata, sistem parol dilaksanakan memang tepat pada masanya.
Diberikan parol tidak bermakna pelepasan terus banduan ini. Parol sebenarnya membantu dan membimbing penghuni untuk hidup sebagai individu yang menghormati undang-undang dan peraturan.
Penyeliaan parol bermula dengan kajian latar belakang ODP, dari segi penerimaan keluarga dan komitmen mereka untuk menjalani intervensi yang telah ditetapkan.
Setakat ini kami menerima ODP yang paling lama dalam tempoh sembilan bulan dan paling singkat dua bulan. Kami juga memastikan hubungan kami dengan ODP yang sudah tamat parol tetap baik," jelas Kasim.
Posted by R2blog. R2blog auto post for blogspot. Download at http://R2blogger.blogspot.com
No comments:
Post a Comment