Sunday, August 12, 2012

Upah amil fitrah


Mohd. Akhir Jaafar mengakui hasil daripada jualan makanan yang diusahakan isterinya telah banyak membantu beliau dan isteri dalam pelbagai urusan kewangan keluarga.

WAJAHNYA tenang kala menemui penulis di Masjid as-Salam, Puchong Perdana, Selangor. Orangnya sopan dan lembut menelurkan perkataan.


"Assalamualaikum, ustaz di mana? Saya sudah sampai di masjid." Dia menelefon kala saya baru sahaja memarkir kereta di halaman masjid yang indah tersergam itu. Kami bertemu sesuai janji temu yang diatur, khusus untuk slot Jejak Asnaf pada kali ini.


Untuk itu, marilah sama-sama kita ikuti jejak-jejak kehidupan Mohd. Akhir Jaafar, 49, dan isterinya, Jamaliah Abu Bakar, 39, dalam merintis kejayaan demi masa hadapan berbekalkan keazaman merubah kehidupan.


"Mula-mula, memang segan bagi saya untuk memohon bantuan zakat. Maklumlah, saya ini penjawat awam, bergaji tetap. Namun, dengan pangkat yang rendah dan pendapatan yang kecil, ditambah dengan tanggungan yang ramai, saya akur akhirnya untuk memohon bantuan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS).


"Saya akui, kehidupan hari ini memang memerlukan belanja yang besar. Isteri saya tidak mampu bekerja berat, memandangkan dia sendiri mengidap penyakit tulang belakang dan doktor menggesa agar dia banyak berehat."


Demikianlah secebis perkongsian Akhir, kala kami memulakan perbualan.


Benar, isteri beliau yang turut hadir kemudiannya memberitahu, dia disahkan mengidap penyakit slip disk, radang saraf dan toksin yang berlebihan dalam badan.


"Doktor menyatakan, akibat banyak makan ubat, akhirnya ia telah menjadi toksin. Malangnya, toksin itu telah menular ke dalam hati dan organ-organ dalam badan saya. Akibatnya, saya tidak mampu melakukan kerja-kerja berat. Doktor menasihati saya agar berehat. Namun jika saya berehat sepenuhnya, bagaimana dengan keperluan keluarga. Suami saya tidak mampu menyediakan semua keperluan dengan pendapatan beliau yang kecil," tambah Jamaliah.


Lalu, sekitar tahun 2006 bermulalah episod mereka sekeluarga disenaraikan sebagai asnaf zakat di Selangor. LZS mengenal pasti apakah keperluan utama, maka antara yang disegerakan ialah bantuan persekolahan anak-anak dan juga keperluan lain.


"Sebelum dapat bantuan LZS, kami telah melalui hidup yang sempit. Misalnya, untuk menghadapi musim persekolahan yang baru, maka keperluan anak-anak banyak tertangguh. Yuran sekolah misalnya, ada yang tidak mampu saya jelaskan sehingga ke penghujung tahun. Mujurlah pihak sekolah memahami dan mereka tidak pula memaksa. Pernah saya tidak membeli baju sekolah anak-anak dan mereka hanya memakai pakaian yang lama," akui Akhir lagi.


"Apabila menjelangnya musim perayaan seperti sekarang, lagilah terasa bebannya. Maklumlah, saya menanggung keperluan tujuh orang anak. Dahulu, jika saya dapat belikan mereka sehelai pakaian baru pun sudah memadai. Manakala, bagi saya dan isteri, kami tidak kisah andai tidak bertukar pakaian baru.


"Mujurlah saya dilantik menjadi amil fitrah. Dengan upah amil fitrah itulah, saya dapat jadikan modal untuk berhari raya di kampung halaman. Orang mungkin tidak tahu, namun bagi saya upah itulah yang banyak membantu," jelas Akhir ikhlas.




Posted by R2blog. R2blog auto post for blogspot. Download at http://R2blogger.blogspot.com

No comments:

Post a Comment